Pengenalan

Keperluan asas manusia meliputi pelbagai aspek khususnya makanan. Pemakanan yang seimbang sangat penting dalam memastikan tenaga dan nutrien yang mencukupi diperlukan untuk bergerak aktif. Penekanan lanjut perlu diberikan bukan sahaja melibatkan kandungan zat malah perlu memfokuskan kepada aspek keselamatan makanan dari segi bahaya kimia, fizikal dan biologi di dalam makanan.

Peningkatan penduduk dunia saban tahun telah memberi tekanan terhadap permintaan pelbagai jenis keperluan. Namun, sumber yang terhad dan kehendak manusia yang tiada sempadan menyebabkan tidak semua keperluan asas dapat dipenuhi sekiranya tidak diurus dengan baik. Oleh itu, makanan merupakan salah satu keperluan asas yang perlu diberi perhatian dalam memastikan pembangunan ekonomi dan sosial sesebuah negara kekal progresif dan berdaya saing.

Justeru, sistem makanan negara perlu diperkukuh supaya lebih berdaya tahan dan mampan. Ini termasuklah meningkatkan prestasi di semua rantaian makanan berkaitan pengeluaran, pemprosesan, pengedaran, penyediaan, dan keselamatan makanan serta pemakanan.

Sekuriti Makanan boleh ditakrifkan sebagai keadaan di mana semua orang mempunyai akses fizikal, sosial dan ekonomi kepada makanan yang mencukupi, selamat dan berkhasiat. Selain itu, makanan tersebut mestilah memenuhi keperluan pemakanan seharian untuk membolehkan manusia menjalani gaya hidup yang aktif dan sihat (FAO, 2002).

Dalam memperkukuh sekuriti makanan negara, Kerangka Sekuriti Makanan Negara (KSMN) yang merangkumi empat (4) komponen utama iaitu ketersediaan (availability), akses (accessibility), penggunaan (utilization) serta kestabilan dan kemampanan (stability and sustainability) telah dibangunkan. Komponen utama ini adalah selaras dengan konsep terkini yang disyorkan oleh Food and Agriculture Organisation of the United Nations (FAO).

Komponen-komponen ini akan disokong oleh strategi-strategi utama, sokongan dan pemboleh daya yang memberi tumpuan kepada faktor politik, sosial, ekonomi, alam sekitar dan teknologi. Ia turut merangkumi aspek guna tenaga, kelestarian dan kemampanan sumber, perubahan iklim, pelaburan, kajian dan penyelidikan serta struktur governans sekuriti makanan merentas agensi dan kementerian.

Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara (JKSMN) berperanan dalam merangka dasar sekuriti makanan negara yang holistik dan mampan. Jawatankuasa ini akan dibantu oleh Jawatankuasa Eksekutif Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara (JKESMN) yang berperanan sebagai coordinating committee dan dipengerusikan secara Bersama oleh YB Menteri Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan YB Menteri Kementerian Perladangan dan Komoditi. Jawatankuasa Eksekutif ini pula dianggotai oleh Ketua-ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua-ketua Pengarah Jabatan, Gabenor Bank Negara, pemain-pemain Industri serta pakar pertanian dalam kalangan akademia berkaitan sektor agromakanan.

Lima (5) kluster atau kumpulan kerja teknikal telah ditubuhkan merentasi pelbagai kementerian dan agensi, iaitu:

  1. Kluster Ketersediaan di bawah Bahagian Sekuriti Makanan, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan;
  2. Kluster Kebolehcapaian di bawah Sekretariat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN);
  3. Kluster Keselamatan Makanan dan Pemakanan di bawah Sekretariat Majlis Keselamatan Makanan dan Pemakanan Kebangsaan (MKMPK), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM);
  4. Kluster Kestabilan dan Kemampanan di bawah Sekretariat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara (Sekretariat JKSMN), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan Majlis Keselamatan Negara; dan
  5. Kluster Komunikasi Strategik dibawah Kementerian Komunikasi.

Kelima-lima kluster ini berfungsi untuk mengetengahkan isu dan cadangan penyelesaian berhubung rantaian sistem makanan dan pelaksanaan strategi yang telah dikenal pasti.

 

  • Jabatan Pertanian icon
  • Jabatan Perkhidmatan Veterinar icon
  • Jabatan Perikanan Malaysia icon
  • Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) icon
  • Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) icon
  • Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) icon
  • Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) icon
  • Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) icon
  • Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) icon
  • Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) icon
  • Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia icon
  • Agrobank icon
  • myGovernment icon
  • Taman Botani Negara Shah Alam icon
  • Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) icon
  • Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) icon