FAQ Beras


  1. Nyatakan jenis beras yang terdapat di Malaysia?

    Jenis atau gred beras yang boleh dijual Malaysia adalah seperti mana yang telah termaktub di bawah Perintah Beras (Kawalan Gred dan Harga), (Pindaan), (No. 5) 2008, P.U (A) 422, Jenis atau gred beras tersebut adalah seperti berikut:

    1. Super Spesial Tempatan 5%/ 10% (harga dikawal)
    2. Super Import (harga tidak dikawal)
    3. Beras-beras istimewa lain (Beras Rebus, Pulut, Wangi, Basmathi)

  2. Keberadaan bekalan Beras Putih Tempatan (BPT) di pasaran?

    Isu bekalan BPT berlaku akibat peralihan tingkah laku pengguna (consumer behaviour) yang memilih untuk membeli beras yang murah di pasaran. Disebabkan kenaikan harga Beras Putih Import (BPI) ekoran kenaikan harga di pintu gudang BERNAS kepada RM3,200 per tan metrik yang menyebabkan peningkatan harga runcit BPI di antara RM40 ke RM45 per kampit 10kg.

    Jurang perbezaan harga BPI dan BPT yang semakin tinggi menyebabkan pengguna dan pengusaha restoran beralih kepada BPT sebagai beras pilihan kerana harga kawalan sebanyak RM26 per kampit 10kg adalah jauh lebih murah.

    Kesan daripada peralihan ini, bekalan BPT semakin sukar diperolehi di pasaran dan menjadi isu nasional. Pengeluaran beras dalam negara pada ketika ini sebanyak 1.5 juta tan metrik hanya mampu menampung sebanyak 62% keperluan beras dalam negara. Namun, permintaan BPT oleh industri, pembekal kontrak kerajaan, pemberian zakat dan keperluan bagi padi benih dan beras istimewa menyebabkan ketersediaan BPT di pasaran adalah sekitar 52.5% sahaja.


  3. Apakah punca kenaikan yang agak tinggi harga beras di pasaran?

    Harga beras dipengaruhi dan berubah mengikut pasaran dunia. Langkah India melaksanakan sekatan eksport beras putih mulai bulan Julai 2023 telah memberi kesan di mana telah menyebabkan kenaikan harga beras putih global. Kadar pertukaran mata wang asing Ringgit Malaysia (RM) berbanding Dolar Amerika (USD) turut mempengaruhi harga beras di pasaran.


  4. Adakah kenaikan tersebut turut dipengaruhi cuaca seperti El Nino?

    Ya, pengaruh cuaca juga memberi kesan kepada harga beras dunia kerana produktiviti padi terkesan disebabkan faktor cuaca.


  5. Adakah kenaikan harga beras negara dipengaruhi situasi semasa pasaran beras dunia?

    Harga BPT dikawal oleh kerajaan sejak tahun 2008 pada kadar RM2.60/kg. Bagaimanapun, harga BPI tidak dikawal oleh kerajaan dan ditentukan oleh pasaran beras dunia.


  6. Apakah langkah kerajaan bagi menangani kenaikan harga BPI di pasaran ?

    Harga jualan runcit BPI dijual antara RM40 hingga RM45 per kampit 10kg di pasaran sebelum ini. Tetapi, kerajaan melalui Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL) pada 19 Mac 2024 bersetuju supaya penurunan harga jualan runcit BPI antara RM2 hingga RM3 dipasaran dilaksanakan berkuatkuasa pada 20 Mac 2024.


  7. Adakah bekalan beras dalam negara mencukupi?

    KPKM memberi jaminan bekalan beras dalam negara sentiasa mencukupi.


  8. Nyatakan perbandingan harga beras Malaysia dengan harga beras negara-negara di Asia Tenggara?

    Malaysia (RM2.60/kg), Thailand (RM3.30/kg), Indonesia (RM4.05/kg), Vietnam (RM3.50/kg), Kemboja (RM5.00/kg), Laos (RM6.00/kg).


  9. Dimanakah lokasi alternatif bagi mendapatkan bekalan BPT selain di pasar raya?

    Bekalan BPT boleh didapati di outlet pemasaran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) seperti berikut:

    FAMA LPP
    427 outlet pemasaran FAMA 84 peladang outlet
    Jualan Agro MADANI (3,800 sesi) 7 Agrobazaar Pertubuhan Peladang
    200 institusi (NGO, Persatuan, PERNAMA, Koperasi, dll), 4 Kedai Peladang
    300 lokasi PPR melalui kerjasama strategik bersama MyGrocer  
    850 outlet peruncitan swasta di 165 Kawasan Parlimen  

  10. Apakah tindakan kerajaan dalam usaha menstabilkan bekalan BPT di pasaran?

    Pelan Intervensi BPT melalui FAMA telah dilaksanakan mulai 14 September 2023 dan LPP mulai 20 September 2023 bagi membantu pengguna mendapatkan bekalan BPT di bawah outlet -outlet seliaan agensi tersebut. Pihak KPKM juga giat melaksanakan penguatkuasaan melalui OP BPT di seluruh negara. Sebelum ini, Task Force Khas OP BPT telah dilaksanakan melibatkan Seksyen Kawal Selia Padi dan Beras KPKM, Bahagian Penguatkuasa KPDN, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kastam Diraja Malaysia dan MAQIS. Untuk tahun 2024, OP BPT 2.0 bermula 1 Februari oleh Seksyen Kawal Selia Padi dan Beras KPKM.

    Dalam meluaskan jaringan pengedaran BPT, program Jualan Agro MADANI yang dilaksanakan oleh FAMA dan LPP akan diperluaskan dari segi lokasi dan peningkatan kekerapan program.

    Bagi meningkatkan pengedaran BPT di pasaran, bermula pada 20 Mac 2024 kerajaan memutuskan supaya semua stok semasa padi yang telah dibeli oleh pengilang dapat diproses dan dijual berjumlah 140,000 tan metrik beras untuk kegunaan pasaran tempatan dengan serta merta melalui pasaraya dan hypermarket.

    Selain itu, kerajaan turut bersetuju agar semua kontrak kerajaan mengguna pakai sepenuhnya BPI. Sehubungan itu, melalui kaedah ini, bekalan tambahan BPT sebanyak 20,000 tan metrik akan diedarkan sepenuhnya di pasaran pada April 2024.


  11. Apakah peranan rakyat dalam membantu kerajaan menstabilkan bekalan BPT di pasaran?

    Pengguna disarankan untuk membeli BPT mengikut keperluan.


  • Jabatan Pertanian icon
  • Jabatan Perkhidmatan Veterinar icon
  • Jabatan Perikanan Malaysia icon
  • Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) icon
  • Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) icon
  • Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) icon
  • Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) icon
  • Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) icon
  • Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) icon
  • Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) icon
  • Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia icon
  • Agrobank icon
  • myGovernment icon
  • Taman Botani Negara Shah Alam icon
  • Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) icon
  • Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) icon