Dana Program Pembiayaan Agroteknologi MADANI (DPPAM)

PENGENALAN

Dana Program Pembiayaan Agroteknologi MADANI (DPPAM) merupakan kemudahan pembiayaan yang ditawarkan melalui Agrobank bagi meningkatkan penggunaan agroteknologi dalam sektor agromakanan selaras dengan agenda pemodenan dan pertanian pintar yang digariskan dalam Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0).

Program kemudahan pembiayaan ini juga merupakan sebagai galakan oleh Kerajaan untuk meningkatkan penggunaan agroteknologi seperti Controlled Environment Agriculture, pertanian bandar (urban farming), teknologi berteraskan 4IR (Internet of Things (IoT), Artificial Intelligence) teknologi mekanisasi dan automasi serta penggunaan teknologi hijau dalam meningkatkan produktiviti ke arah keterjaminan makanan.

 

SKOP PEMBIAYAAN

Pembiayaan berkonsepkan syariah (Tawarruq) dengan margin pembiayaan sehingga 100% yang melibatkan kos berkaitan pembelian aset, kos pembangunan dan kos modal kerja bagi sektor agromakanan bagi menggalakkan penggunaan agroteknologi. Antara skop pembiayaan adalah seperti berikut:

  1. perolehan peralatan atau teknologi bagi memacu peningkatan pengeluaran hasil dengan kualiti atau kuantiti yang lebih tinggi berbanding kaedah konvensional;
  2. perolehan teknologi dan sistem yang telah digunapakai oleh mana-mana projek sedia ada dan telah diperakukan hasil; serta
  3. peluasan skop perniagaan dan penggunaan teknologi hendaklah menyumbang kepada peningkatan produktiviti dalam aktiviti pertanian.
  1. Individu dan bukan individu yang berumur 18 tahun (semasa permohonan) sehingga 70 tahun (pada tempoh matang pembiayaan);
  2. Bagi bukan individu, entiti perniagaan dengan 51% hak milik warganegara Malaysia berdaftar di bawah mana-mana undang-undang bertulis Malaysia seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) atau organisasi berdaftar dengan mana-mana agensi yang diluluskan oleh KPKM yang beroperasi di Malaysia;
  3. Aktiviti pertanian dengan skala operasi setara sesuai bagi tujuan komersial (tertakluk kepada jenis projek pertanian);
  4. Hasil produk bertujuan untuk penjualan domestik atau eksport;
  5. Program adalah terpakai kepada pertanian kontrak dan pertanian bukan kontrak;
  6. Perniagaan yang diusahakan adalah patuh Syariah;
  7. Penilaian kredit adalah berdasarkan penilaian Bank (CCRIS, CTOS, analisis kewangan dan lain-lain);
  8. Tiada proses kebankrapan atau dinyatakan muflis;
  9. Kegiatan perniagaan di bawah ruang/lot yang didaftarkan secara komersial menurut Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172] (Bahagian IV Kawalan Perancangan, Seksyen 18) dan/atau tindakan yang relevan yang berkaitan dengan penggunaan tanah untuk pertanian;
  10. Teknologi yang akan digunakan adalah agroteknologi seperti Controlled Environment Agriculture, pertanian bandar (urban farming), teknologi berteraskan 4IR (Internet of Things (IoT), Artificial Intelligence) teknologi mekanisasi dan automasi serta penggunaan teknologi hijau dalam meningkatkan produktiviti ke arah keterjaminan makanan.
  11. Perluasan perniagaan dengan penggunaan teknologi yang telah disahkan mestilah mampu meningkatkan produktiviti sektor pertanian.

HAD PEMBIAYAAN

Margin pembiayaan sehingga 100% yang melibatkan kos berkaitan pembelian aset, kos pembangunan dan kos modal kerja termasuk kos sampingan (contoh: takaful, duti setem, dan lain-lain) tertakluk kepada jumlah maksimum seperti berikut:

Program Minimum Maksimum
Dana Program Pembiayaan Agroteknologi MADANI RM10,000 RM5,000,000

 

TEMPOH KEMUDAHAN PEMBIAYAAN

Sehingga 10 tahun (120 bulan), tertakluk kepada jenis dan keperluan projek dan unjuran aliran tunai. Tempoh maksimum penangguhan adalah sehingga 8 bulan.

 

KADAR KEUNTUNGAN

2 peratus (2%) setahun, dikira atas baki bulanan.

 

KRITERIA TEKNOLOGI

  1. Jenis teknologi yang akan digunakan adalah agroteknologi seperti Controlled Environment Agriculture, pertanian bandar (urban farming), teknologi 4IR (Internet of Things, Artificial Intelligence (AI), blockchain, bahan atau teknologi termaju, pengkomputeran awan serta analisis data raya), teknologi mekanisasi dan automasi, serta teknologi hijau (termasuk bioteknologi, tenaga boleh diperbaharui dan waste to wealth) dalam meningkatkan produktiviti ke arah keterjaminan makanan.
  2. Teknologi yang digunakan hendaklah memacu peningkatan pengeluaran hasil dengan kualiti dan kuantiti yang lebih tinggi berbanding kaedah konvensional;
  3. Teknologi yang mempunyai projek perintis yang membuktikan kebolehlaksanaan dan keberkesanan teknologi di Malaysia adalah diutamakan.
  4. Teknologi yang ingin digunakan hendaklah mempunyai jaminan dan waranti, perkhidmatan selepas jualan yang memuaskan oleh penyedia teknologi dan pematuhan standard seperti SIRIM/ ISO/ MyGAP/ MyHijau/ adalah digalakkan.

PROSES PERMOHONAN

Langkah Pertama : Pendaftaran Sebagai Pemohon DPPAM di Peringkat Kementerian

Pemohon boleh memulakan pendaftaran sebagai pemohon DPPAM melalui Sistem eBorang KPKM (https://kpkm.borang.my/) di laman sesawang rasmi KPKM. Cetakan borang atau emel diperlukan sebagai bukti pendaftaran serta dijadikan surat iringan bagi dokumen permohonan pembiayaan yang akan dikemukakan di mana-mana cawangan Agrobank.

 

Langkah Kedua: Mengemukakan Permohonan Pembiayaan di Cawangan Agrobank

Setelah membuat pendaftaran di laman sesawang KPKM, pemohon hendaklah:

  1. mengisi Borang Permohonan Kemudahan Pembiayaan.
  2. menyediakan dokumen berdasarkan Senarai Semak Permohonan Kemudahan Pembiayaan.
  3. menyertakan cetakan borang/emel sebagai surat iringan untuk dikemukakan di mana-mana cawangan Agrobank.

 

Langkah Ketiga: Pemakluman Keputusan Permohonan

Pemakluman akan dibuat melalui Surat Tawaran/Surat Penolakan yang akan disediakan oleh pihak Agrobank dan akan dihantar kepada semua pemohon.

Berikut merupakan pautan bagi Sistem eBorang KPKM bagi proses permohonan pembiayaan: https://kpkm.borang.my/.


Turut disertakan manual pengguna bagi sistem eBorang KPKM sebagai panduan pemohon:

>> Manual Pengguna Sistem eBorang KPKM

Untuk sebarang keterangan lanjut sila hubungi:

a.

Bahagian Pemodenan Pertanian 
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan
Aras 4Blok 4G1 Podium 1B
Wisma Tani, No. 28, Persiaran Perdana
Presint 4, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62624, Putrajaya
emel : admin.bpp@kpkm.gov.my / talian : 03-8870 1047

b.

Hubungi Pusat Panggilan Agrobank di talian 1-300-88-2476;

c.

Layari laman sesawang rasmi Agrobank di www.agrobank.com.my; atau

d.

Kunjungi cawangan Agrobank yang berdekatan; atau

e. Layari media sosial rasmi KPKM dan Agrobank seperti Facebook, Instagram, Twitter.
  • Jabatan Pertanian icon
  • Jabatan Perkhidmatan Veterinar icon
  • Jabatan Perikanan Malaysia icon
  • Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) icon
  • Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) icon
  • Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) icon
  • Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) icon
  • Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) icon
  • Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) icon
  • Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) icon
  • Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia icon
  • Agrobank icon
  • myGovernment icon
  • Taman Botani Negara Shah Alam icon
  • Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) icon
  • Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) icon