Selaras dengan pendekatan penyasaran semula subsidi secara berfasa di bawah Kerajaan MADANI, Kerajaan telah bersetuju supaya kawalan harga telur ayam ditamatkan dan kadar subsidi telur ayam dikurangkan dari RM0.10 kepada RM0.05 sebiji, berkuat kuasa mulai 1 Mei 2025. Seterusnya, pemberian subsidi bagi telur ayam akan ditamatkan sepenuhnya pada 1 Ogos 2025.
Penyasaran semula subsidi dan penamatan kawalan harga telur ayam ini akan dapat mengukuhkan kedudukan kewangan dan fiskal negara yang mana perkara ini membolehkan pihak Kerajaan menggunakan peruntukan tersebut untuk keperluan rakyat yang lebih mendesak demi kesejahteraan rakyat selaras dengan nilai-nilai MADANI.
Keputusan penyasaran semula subsidi dan kawalan harga telur ayam dibuat setelah mengambil kira komitmen pihak industri untuk memastikan pengeluaran telur ayam yang cukup dan terjamin. Ini telah terbukti sepanjang musim perayaan Aidilfitri yang lalu di mana ketersediaan bekalan adalah mencukupi dengan harga yang stabil.
Selain itu, Kerajaan juga telah mengambil kira tempoh pemberian subsidi yang terlalu lama (1,273 hari sehingga 31 Julai 2025) ialah sesuatu yang tidak mampan kepada kelangsungan industri pengeluar telur tempatan serta kewangan negara. Selain itu, langkah tersebut adalah lebih adil memandangkan subsidi ketika ini turut dinikmati oleh warga asing dan golongan berpendapatan tinggi.
Proses penyasaran ini akan dilakukan secara berperingkat (soft-landing) bagi meringankan impak kepada rakyat iaitu:
- kawalan harga telur ayam ditamatkan dan kadar subsidi telur ayam dikurangkan dari RM0.10 kepada RM0.05 sebiji mulai 1 Mei 2025; dan
- ditamatkan pemberian subsidi telur ayam sepenuhnya mulai 1 Ogos 2025.
Sejak Februari 2022 hingga Disember 2024, Kerajaan telah membelanjakan hampir RM2.5 bilion untuk pembayaran subsidi telur ayam kepada pihak industri bagi menampung peningkatan kos pengeluaran berikutan pandemik COVID-19, serta kesan peperangan antara Ukraine dan Russia ke atas harga import soya dan jagung bijian.
Purata perbandingan harga bagi April tahun 2025 bagi telur Gred B sebiji, adalah
- Malaysia :RM0.40/ sebiji
- Thailand :RM0.53/ sebiji
- Myanmar :RM0.78/ sebiji
- Filipina :RM0.72/ sebiji
- Kemboja :RM0.81/ sebiji
- Vietnam : RM0.78/sebiji
Penyasaran subsidi dan penamatan kawalan harga telur ayam ini akan memberi kesan positif kepada pemulihan daya saing pasaran telur tempatan menerusi galakan persaingan dan kecekapan di kalangan pengeluar telur ayam tempatan. Kawalan harga yang berpanjangan boleh menyebabkan herotan dalam pasaran di mana harga tidak mencerminkan kos pengeluaran.
Dari perspektif ekonomi pula, dasar pasaran terbuka merupakan instrumen terbaik untuk mengurangkan kebergantungan pihak industri kepada bayaran subsidi dan seterusnya merangsang para pemain industri tempatan untuk meningkatkan kecekapan, inovasi dan produktiviti.
Paling utama, tindakan ini dapat mengelakkan ketirisan subsidi telur yang sebelumnya turut dinikmati tanpa kawalan oleh golongan yang berpendapatan tinggi termasuk warga asing.
Penyasaran subsidi ini dapat membantu mengukuhkan kewangan Kerajaan melalui penjimatan RM100 juta sebulan yang mana hasil penjimatan daripada peruntukan tersebut boleh digunakan untuk pembiayaan projek-projek kritikal dan keperluan pembangunan sosio-ekonomi negara yang lain.
Bagi meringankan impak susulan penyasaran subsidi telur ayam serta meminimumkan peningkatan kos sara hidup, antara langkah-langkah segera dan khusus kepada golongan berpendapatan rendah adalah:
- pihak industri telah bersetuju untuk memperkenalkan telur gred khas pada harga yang munasabah; dan
- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) komited untuk terus melaksanakan inisiatif Jualan Agro MADANI dan Jualan Rahmah di seluruh negara termasuk di semua outlet Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) bagi memastikan rakyat mempunyai pilihan serta jaminan bekalan pada harga yang berpatutan.
Rakyat boleh menyalurkan sebarang maklumat atau aduan berhubung isu bekalan telur melalui e-mel rasmi KPKM di alamat emel
Boleh kerana ia tidak melibatkan subsidi Kerajaan.
Tidak. Manfaat utama penyasaran subsidi dan penamatan kawalan harga telur sudah pastinya akan memberi penjimatan kepada perbelanjaan Kerajaan dan sudah tentunya akan dikembalikan semula kepada rakyat dengan pelaksanaan pelbagai inisiatif dasar, program atau projek Kerajaan lain. Ini akan menguntungkan rakyat dan bukannya pihak industri.
Ya. Dasar ini turut melibatkan Sabah dan Sarawak.

